Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 14 June 2023

UD Trucks Realisasikan Matlamat Korporat “Kehidupab Lebih Baik” Kepada Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik di Rumah K.I.D.S.

Kakitangan UD Trucks Malaysia baru-baru ini telah berkumpul untuk memeriahkan lagi program kebajikan apabila mengunjungi kanak-kanak di Rumah K.I.D.S di USJ, Subang Jaya dan menyumbang 10 unit komputer riba, permainan serta barangan makanan, sekali gus membawa kegembiraan kepada mereka. Pasukan UD Trucks Malaysia menghabiskan masa selama setengah hari bersama hampir 30 orang kanak-kanak sambil membantu membuat tetapan komputer riba. Mereka juga mengadakan pelbagai aktiviti pendidikan yang menyeronokkan termasuk tentang keselamatan jalan raya, permainan silang kata, pertandingan mewarna dan permainan kerusi muzik. 

Pengarah Urusan UD Trucks untuk Hub Malaysia, Steve Hedouin berkata, “Program kebajikan di Rumah K.I.D.S yang bertemakan ‘sharing is caring’ ini dianjur untuk menyokong rumah kebajikan dan menggalakkan kanak-kanak terhadap aspek Pendidikan, meningkatkan budaya kerja yang positif menerusi kerja-kerja kebajikan serta berkongsi matlamat korporat UD iaitu mencipta kehidupan lebih baik kepada masyarakat. Lebih daripada itu, saya berbangga kerana program ini dianjur dan disertai sepenuhnya oleh pasukan kakitangan kami. Ia nyata memberi kami peluang untuk membantu masyarakat bukan sahaja selaku kakitangan UD Trucks, malah sebagai seorang individu. 

“Kami sangat gembira kerana dapat menyumbang komputer riba kepada kanak-kanak yang akan menggalakkan mereka supaya menjadi celik komputer dan aspek pendidikan secara keseluruhannya. Minat mendalam dan penglibatan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak ini dalam semua aktiviti yang dianjurkan oleh pasukan kami sangat memuaskan. 

“Sebagai sebuah syarikat trak, kami juga berasakan bahawa sudah menjadi tanggungjawab kami untuk memasukkan elemen keselamatan jalan raya ke dalam aktitiviti-aktiviti mereka. Ia melibatkan tayangan video, di mana kakitangan kami memberitahu kanak-kanak tentang asas-asas penting untuk melintas jalan dengan selamat dan tahu mengenai titik buta kenderaan. Secara keseluruhannya, ini merupakan satu program yang sangat bermakna dan kami tidak sabar untuk menganjurkan aktiviti kemasyarakatan sama pada masa depan.” 

Ditubuhkan pada tahun 1991, Rumah K.I.D.S merupakan kediaman untuk  anak-anak yatim yang didera dan diabai yang memerlukan penjagaan, bimbingan dan sokongan bagi mendapatkan kehidupan lebih baik pada masa depan. Sejak 32 tahun lalu, Rumah K.I.D.S telah menjaga, memberi makan dan mendidik lebih 300 orang kanak-kanak berusia semuda setahun, hinggalah remaja dan belia. 

Pengurus Kanan yang bertanggungjawab dari segi mendapatkan dana, kerjasama dan perhubungan awam, David Jansen Nathan berkata, “Selain melindungi kanak-kanak daripada didera dan diabaikan, misi Rumah K.I.D.S adalah untuk membolehkan mereka menamatkan pengajian dan merealisasikan potensi mereka. 

“Melalui pendidikan, kanak-kanak boleh menjalani kehidupan yang lebih produktif dalam masyarakat. Kami amat berterima kasih kepada UD Trucks kerana sudi menyumbang komputer riba dan barangan keperluan lain, di samping menganjurkan semua aktiviti tersebut. Saya dapat lihat kanak-kanak ini begitu gembira.” 

Menurut beliau lagi, kanak-kanak yang tinggal di Rumah K.I.D.S akan diperkenalkan dengan keluarga baharu di mana mereka akan membentuk ikatan persahabatan dengan abang, kakak dan adik-adik di dalam satu persekitaran yang sihat dan selamat. Ia juga mempunyai rutin belajar, membuat kerja rumah, bermain dan berehat yang sihat bagi membolehkan mereka berada dalam keadaan yang gembira serta selamat.

Jansen Nathan menyatakan bahawa Rumah K.I.D.S kekal komited untuk membantu mana-mana penghuninya yang telah menamatkan sekolah menengah dan mahu melanjutkan pengajian atau mencapai cita-cita mereka. Beliau berkongsi rasa bangga mengenai seorang kanak-kanak, Manisha yang datang tinggal di Rumah K.I.D.S pada tahun 2006 ketika berusia empat tahun dan kini menjadi graduan dalam Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Walaupun perjalanan pendidikannya tidak mudah, namun mereka berusaha untuk menjadikannya satu kenyataan. Manisha kini mahu meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda. Bagi membantu beliau, Rumah K.I.D.S baru-baru ini ada memulakan satu program mendapatkan dana pendidikan tinggi.

“Usaha mengumpul dana untuk pendidikan tinggi ini bertujuan membolehkan remaja seperti Manisha menggapai impian kerjaya, seterusnya menjadikan mereka lebih bersedia untuk kembali menyumbang kepada masyarakat pada masa depan. Memandangkan kami bergantung sepenuhnya kepada sumbangan awam, kami berharap syarikat-syarikat dan orang perseorangan akan tampil membantu kami memberi peluang kepada remaja-remaja ini,” jelas Jansen Nathan.  

Kesejahteraan Rumah K.I.D.S adalah bergantung kepada sumbangan awam sepenuhnya. Syarikat dan individu yang ingin mendapatkan lebih banyak maklumat, melawat dan membuat apa sahaja sumbangan bagi membantu kanak-kanak di Rumah K.I.D.S boleh menghubungi David Jansen Nathan di talian 03-3385 1965.